Menjelang Malam Nisfu Sya'aban


SYAABAN adalah gerbang menyambut Ramadan yang penuh berkat. Oleh itu, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada bulan ini sebagai latihan dan persediaan sebelum menghadapi kewajipan berpuasa sebulan penuh pada Ramadan kelak.

Ia dinamakan Syaaban kerana Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya pada bulan ini. Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Nabi Muhammad saw terhadap semua nabi. Sementara, keutamaan Ramadan berbanding bulan lain adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.

Pada Syaaban, ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.

Malam itu menyaksikan limpahan manusia hingga masjid dan surau tidak dapat menampung bilangan jemaah yang begitu ramai. Begitulah keistimewaan malam Nisfu Syaaban hingga mampu menarik perhatian umat Islam untuk sama-sama memakmurkan rumah Allah.


Antara amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Sya'aban:

Selesai sembahyang Maghrib hendaklah membaca Yasin dengan niat panjangkan umurnya dalam mentaati Allah. Kemudian berdoalah. Kemudian dibacakan pula Yasin dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkatinya, kemudian lalu dibacakan doanya. Kemudian dibacakan pula Yasin dengan niat minta mati dalam iman, kemudian lalu dibacakan doanya.

Pada malam Nisfu Syaaban sangat baik memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan taubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta diampunkan Allah ibubapa kita dan keluarga kita. Maksud doanya:

Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan aku dan aku adalah hambaMU, sentiasa berada dalam genggamanMu dan ketetapanMU, tiada ada kesanggupanku. Aku mengaku padaMU nikmatMu atasku dan aku mengaku kepadaMu dengan dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada apa yang akan mengampun dosa melainkan Engkau jua. Aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan apa yang telah aku lakukan.

Memohon keampunan dua ibubapa, maksudnya: Ya tuhanku ampunilah aku dan kedua ibubapaku dan rahmatilah duanya sepertimana mereka mendidik aku di waktu kecil. (Rabbigh firli waliwa lidaiya warham huma kama rabbayaani soghiro)

Memohon keampunan dan taubat diri: (70/100 kali pagi petang). Maksudnya: Aku mohon keampunan Allah dan aku bertaubat kepadanya. (Astagfirullah hal a’zim wa atu bu ilaih)

Membaca: (beberapa kali – pahala seperti ibadat seribu tahun). Maksudnya: Tiada tuhan melainkan Allah dan tiada kami sembah melainkan dianya, dengan cara ikhlas kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid, walau pun membenci oleh orang-orang kafir. (La ila haillallah wala na’budu illa iyyahu mukhliseena lahuddin walau karihal kaafirun)

Membaca Al-Quran.

Membaca Tasbih: Seratus kali tiap-tiap satu.

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi. (Subhanarob biyal a’ala)

Maksudnya: Maha Suci Allah dan dengan segala kepujianNya. Maha Suci Allah yang Maha Agung. (Subhanallah wabihamdih, Subhanallahal ’azim)

Maksudnya: Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar (Agong) tiada suatu daya dan tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Agong. (Subhanallah, walhamdulillah, wala ila ha illallah, Allahhu akbar, walahaula wala qhuwwatailla billahil ‘aliyyil ‘azeem)

Membaca Salawat Atas Nabi: (Allahhummasolli ‘ala Muhammad) 10 atau 100 kali pagi dan petang.

Membaca Zikrullah: (La ila ha illallah) 100 kali selepas sembahyang Subuh dan Asar.

Sembahayang-sembahyang sunat: Sunat Mutlaq, Sunat Isyraq, Sunat Dhuha, Sunat mengiringi Fardhu, Sunat Awwabin, Sunat Tahajjud, Sunat Tasbih, Sunat Witir dan Sunat Hajat di tengah malam sebaik-baiknya memohon hajat sesuatu.
Namun, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya beramai-ramai melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban, tidak pada hari dan bulan lain.



Perlu ditegaskan bahawa setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan berkenaan.

Muslim sejati tidak akan memilih bulan atau hari tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan hingga bertemu menghadap Allah nanti.

Di samping itu, ada himpunan hadis yang menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalann tertentu pada bulan ini. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama.

Bagaimanapun, ada sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis daif boleh dipegang dalam fadhail amal (untuk kelebihan beribadat) secara perseorangan.

Jadi, beramallah kita bukan kerana fadhilat tetapi niat lah di hati kita untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah. Jelas daripada fakta di atas bahawa dalam Syaaban ini umat Islam dianjurkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyak ibadah.


Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban

Adapun kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”


HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

1. Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu (pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.

( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )

2.Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-’As daripada Nabi S.A.W telah bersabda : Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya’ban, pemanggil akan memang- gil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik.

( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti)

Penerangan Hadis:

1. Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya’ban yang mana Rasulullah S.A.W sentiasa berpuasa bahkan melebihi bulan-bulan yang lain.

2. Hadis-hadis ini juga menerangkan bagaimana hukum berpuasa pada bulan Sya’ban iaitu sunat bukannya wajib. Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi’liyyah (sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujjah di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

3. Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Kita kadang-kadang melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan dan ia dilakukan apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut. Ini kerana apabila ia dilakukan secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.

4. Galakan ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.

5. Baginda juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk dihisab kualitinya. Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

6. Baginda S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersendiri seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan Sya’ban terutama pada malam pertengahan bulannya. Baginda S.A.W juga mengajar kita agar menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada Allah.

7. Islam mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mapu menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan kita.

8. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.

9. Islam mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak dimaqbulkan.

Selamat beribadah dan beramal buat semua. Sama-sama kita persiapkan diri untuk Ramadhan yang bakal tiba. Mudah-mudahan Allah beri keizinan buat kita untuk tiba di bulan Ramadhan. Amin.....

No Response to "Menjelang Malam Nisfu Sya'aban"

 
powered by Blogger