Merokok: Antara Lemah Jati Diri, Menipu Diri atau Jahil

Merokok membahayakan kesihatan. Kenapa saya tidak merokok? Sejak kecil, ibu saya menanamkan dalam diri anak-anaknya bahawa merokok merupakan suatu kesalahan besar. Ibu menyedarkan kami bahawa merokok adalah punca asal dan permulaan kepada gejala penagihan dadah di kalangan remaja sekolah. Didikan itu telah membina suatu jati diri yang kuat dalam diri saya dengan menolak sepenuhnya tabiat merokok sehingga hari ini.

Tidak perlu saya menghuraikannya secara panjang lebar keburukan merokok dari sudut saintifik dan agama. Daripada bukti-bukti yang ada, merokok telah diakui oleh semua orang tanpa khilaf lagi, memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh perokok, orang di sekelilingnya dan tidak terkecuali alam sekitar juga.

Allah berfirman yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al Baqarah: 195]

Merokok boleh membawa kebinasaan kepada kesihatan tubuh badan manusia. Apakah kita tidak mahu beriman dengan ayat Allah itu?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain” [HR Ibnu Majah]

Bukankah merokok boleh membahayakan bukan sahaja perokok tetapi juga orang lain melalui pencemaran udara? Dalam hukum fiqh, keharaman merokok masih dalam ruang lingkup khilafiah kerana ia bukan persoalan yang boleh dimuktamadkan melalui nas qat’ie dari al Quran dan hadis. Pun begitu, saya tidak setuju kepada mereka yang beralasankan soal khilafiah sebagai hujah untuk membenarkan sesuatu perkara yang boleh memudharatkan diri mereka, sama ada dalam aspek keduniaan atau keagamaan. Prinsip yang diajarkan oleh Islam mengkehendaki kita supaya apabila kita mengetahui hakikat kebenaran sesuatu hujah itu, kita perlu jujur menerimanya. Kita tidak boleh membohongi diri kita dengan kebenaran hanya disebabkan ingin memuaskan nafsu dan kemahuan kita semata-mata.

Ada orang yang mengetahui hakikat merokok itu memudharatkan tetapi dia tetap bertegas mengharuskan perbuatan tersebut dengan alasan ada pendapat lain yang mengatakan ia tidak haram. Analoginya, anda tahu meminum arsenik walaupun dalam kuantiti sedikit itu berbahaya kepada kesihatan dan boleh menjadi pembunuh senyap, tetapi anda tetap meminumnya hanya kerana beralasankan keharamannya secara jelas tidak ada dalam al Quran atau hadis. Berakalkah anda jika bertindak demikian? Mungkin ada benarnya sindiran Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan perokok dari kalangan mereka yang berkopiah dan berjubah lebih hina dari binatang.

Di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Melaka dan Sarawak, fatwa keharaman rokok telah digazetkan. Bahkan di peringkat kebangsaan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam, walaupun tiada fatwa khusus dikeluarkan mengenainya.

Hukum melanggar fatwa adalah haram, yakni berdosa apabila dilakukan. Dengan kata lain, mana-mana individu yang merokok di negeri-negeri terbabit akan mendapat dosa. Jika individu ini berterusan melakukan dosa kecil ini secara terbuka, tidakkah boleh dikategorikan sebagai seorang yang fasik? Bagaimana pula keabsahan bagi kesaksian dan perwalian dari orang ini?

Remaja yang merokok sebenarnya terdiri dari mereka yang mudah terpengaruh dengan persekitaran dan rakan sebaya serta kurang jati diri. Penilaian ini didasarkan dari pengalaman rakan-rakan, ahli keluarga dan diri saya sendiri. Semasa belajar di universiti, saya pernah tinggal serumah dengan kesemua penghuninya adalah perokok. Syukur, saya tidak terpengaruh di usia remaja itu sehinggalah sekarang, walaupun saya melihat sendiri ramai rakan-rakan saya yang asalnya dari kelompok yang baik, terjebak dalam tabiat merokok ini atas pengaruh rakan sama ada ketika bangku sekolah, universiti atau alam pekerjaan. Secara peribadi, saya bersyukur kerana mempunyai kekuatan jati diri saya hasil didikan ibu saya, di samping contoh tauladan dari tokoh yang saya selalu ingati iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Kita wajar mengucapkan syabas kepada sahabat-sahabat kita yang berjaya menghentikan tabiat merokok mereka. Sesungguhnya ia tidak akan berhasil melainkan dengan keazaman dan semangat yang tinggi. Alah bisa tegal biasa. Saya menyeru seluruh pembaca supaya bersama berkempen menghentikan tabiat merokok ini untuk kebaikan semua. Ingatlah merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan perokok, malah boleh memudharatkan orang lain dan alam sekitar melalui pencemaran udara. Lebih penting lagi, agama melarang sebarang perbuatan yang boleh membawa kebinasaan dan pembaziran.

No Response to "Merokok: Antara Lemah Jati Diri, Menipu Diri atau Jahil"

 
powered by Blogger