Dahsyatnya Tenaga DOA

 
Doa merupakan kekuatan dan tenaga yang tiada taranya kerana ia berhubung dengan Zat Yang Maha Kuasa. Doa bagi seorang mukmin adalah senjata (wasilah) kerana tidak ada perlindungan dan daya kecuali dari ALLAH SWT. Doa adalah ibadah. Doa adalah senjata. Doa adalah benteng. Doa adalah ubat. Doa adalah pintu segala kebaikan.

Dari Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.

Kekuatan atau kedahsyatan doa bagi seorang muslim tidak dapat dinafikan lagi. Doa adalah senjata buat kaum muslimin, Ad Du‟au Silahul Mu‟min. Di saat canggihnya pelbagai mesin dan persenjataan abad moden ini, strategi dan kaedah peperangan, kekuatan dan kedahsyatan doa tetap tidak dinafikan dan hanya dimiliki oleh orang-orang beriman. Hal ini disebabkan orang-orang yang beriman selain daripada berusaha semaksima mungkin dalam setiap amal yang dilakukannya, dia juga tidak pernah lupa menggantungkan seluruh usahanya melalui doa kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala. Doa adalah senjata buat orang-orang mukmin, yang telah ditauladankan dari para Nabi dan Rasul, para sahabat, salafus sholeh.

Doa itu mampu mengubah yang tidak mungkin menjadi mungkin, yang biasa-biasa menjadi tidak terkata, yang berat jadi ringan, yang jauh menjadi dekat. Itulah dahsyatnya kekuatan doa. Dengan doa segalanya menjadi mungkin atas izin ALLAH Subhanahu Wa Taala.

Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia. (Surah 36 : Yaasin : 82)

Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: “Kun (jadilah)”, maka jadilah ia. (Surah 16 : An Nahl : 40)

Kesilapan Berdoa :

1. Orang yang tidak pernah berdoa dikala susah dan senang

Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”. (Surah 40 : Al Mukmin : 60)

2. Orang yang berdoa ketika sedang menghadapi kesulitan, walaupaun dia terlepas dari kesulitan yang dialami dirinya mereka seolah-olah lupa pernah berdoa kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk melepaskan diri mereka daripada kesulitan tersebut.

Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. (Surah 10 : Yunus : 12)

3. Orang yang berdoa bergantung kepada suasana hatinya

4. Orang yang pernah berdoa tetapi menghentikan doanya kerana berputus asa (doanya tidak dikabul)

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahwasanya Nabi Shollallahu Alaihi Wa Sallam bersabda : Do’a seorang hamba akan selalu dikabulkan selagi tidak memohon sesuatu yang berdosa atau pemutusan kerabat, atau tidak tergesa-gesa. Mereka bertanya : Apa yang dimaksud tergesa-gesa ? Beliau menjawab : ” Dia berkata ; Saya berdoa berkali-kali tidak dikabulkan, lalu dia merasa menyesal kemudian meninggalkan doa”. (H.R. Muslim).

5. Orang yang selalu berdoa dikala susah mahupun senang dan tidak pernah putus asa dari rahmat ALLAH Subhanahu Wa Taala.

Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. (Surah 35 : Faathir : 15)
 

Merenung Kebesaran Allah

Guna Pancaindera renung kebesaran Allah


 
MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya.

Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am ayat 165)
 
Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.

Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21)

Firman Allah SWT lagi bermaksud: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5)

Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman. Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.
 
Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.

Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?

Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.

Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya.
 
Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.

Dipetik dari Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Tanda Hati Kita Mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

~Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya

~ Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda

~Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya

~Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya

~ Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya

~Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya

~Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya

~Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya

~Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri

~Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil


Pengajaran daripadanya:
Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).


Firman Allah:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Rad, Ayat 28)


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
...dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu."
Hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:



"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya."

Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati."

Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi(kebendaan).

Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.

Pengajaran Kisah Abrahah

SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.

Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.

Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.

Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.

Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.

Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San’a.

Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bila kejadian itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:

i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.

iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.


Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?

Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:

i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra’.

ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.


Sayid Qutub berkata: “Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju.”

Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.

Tentera Allah dalam bentuk burung.

Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:

i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan al-Akhfash.

ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.

iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.

iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata’ dan Abu Soleh.

v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.


Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:

i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.

iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.


Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:

i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.

ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.

iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.


Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut.”

Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.

Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.
 
Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.

Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.

Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.

Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.

“Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah.”
 
Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.

Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.

Abdul Muttalib berkata: “Burung tersebut amat pelik.” Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.

Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.

Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.

Sumber : epondok

Menyelami Makna Hijrah

Tidak dinafikan bahawa hijrah mengandungi hikmah yang terlalu besar. Tidak akan habis untuk diselongkar rahsianya dan tidak akan susut untuk digali perbendaharaannya. Penulisan ini cuba untuk mencedok hanya sekelumit daripada hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa bersejarah itu.

Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.

Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya):

“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Mujasyik bin Mas’ud dan saudaranya datang menemui Nabi sallallahu alaihi wasallam dan berkata, “Kami berjanji setia untuk berhijrah”. Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya), “Telah berlalu hijrah untuk mereka yang telah melakukannya.” Mereka bertanya, “Kalau begitu kami berjanji setia untuk apa?” Baginda menjawab (maksudnya), “Untuk Islam dan jihad.”(Riwayat al-Bukhari)

Maksud hijrah dalam nas-nas di atas ialah hijrah dari Makkah ke Madinah. Umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah kerana Makkah telah menjadi negara Islam dan tiada lagi halangan untuk mereka melaksanakan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan.

Adapun mereka yang berada di dalam negara kafir yang menindas dan menghalang umat Islam daripada melaksanakan ibadah yang dituntut oleh Islam serta syiar-syiarnya, wajib berhijrah sampai bila-bila.

Imam Ahmad dan lain-lain meriwayatkan daripada Abdullah bin Waqdan, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),

“Tidak terputus hijrah selagi Muslim diperangi oleh kuffar.”
Namun sekiranya Muslim berada dalam negara kafir yang tidak memerangi Islam serta tidak menghalang orang-orang Islam melaksanakan segala syiarnya, tidak wajib berhijrah dari negara tersebut, lebih-lebih lagi berada di dalam negara yang mengamalkan dasar terbuka serta memberi peluang kepada Muslim untuk berdakwah dan menunjukkan kebaikan Islam kepada masyarakat setempat.

Apakah ini bermakna kita tidak perlu berhijrah lagi?

Sebenarnya hijrah mempunyai dua pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani. Perkataan hijrah mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi hijrah hati bermaksud berhijrah daripada cinta kepada selain Allah kepada cinta kepada Allah, daripada ubudiah kepada makhluk kepada ubudiah kepada Allah, daripada takut, berharap dan bertawakkal kepada selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada-Nya.

Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya. Dan hijrah kepada Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.

Maka hijrah yang dituntut pada masa kini ialah:

1. Jihad fi sabilillah dengan niat yang ikhlas sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh an-Nasa’i daripada Safwan bin Umayyah r.a. katanya, “Saya berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya mereka berkata bahawa syurga tidak akan dimasuki kecuali oleh orang yang berhijrah?” Baginda menjawab (maksudnya), “Tidak ada hijrah selepas Fathu Makkah, tetapi jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjihad, segeralah menyahutnya.”

2. Taubat nasuha dengan meninggalkan segala kejahatan dan dosa sebelum matahari terbit dari arah barat. Daripada Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a., beliau mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),

“Tidak terputus hijrah sehingga terputus (peluang) bertaubat, dan tidak terputus (peluang) bertaubat sehingga matahari muncul dari arah barat.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),

“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.”(Riwayat Ahmad)

3. Memberi sedekah. Daripada Abi Saeid al-Khudri r.a. katanya, seorang badwi telah datang menemui Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya mengenai hijrah. Baginda bersabda (maksudnya),

“Dengar ini! Sesungguhnya hijrah itu urusannya sangat sulit. Maka adakah kamu memiliki unta?” Badwi itu menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya, “Adakah kamu mengeluarkan zakatnya?” Dia menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya lagi, “Adakah kamu memberi sedekah sesuatu daripadanya seperti memerah susunya?” Dia menjawab, “Ya.” Lalu baginda bersabda (maksudnya),

“Maka beramallah kamu dari seberang lautan. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak mengabaikan amalan kamu sedikit pun.”

Ketika mensyarahkan Hadis ini, al-Hafidz Ibn Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan kelebihan mengeluarkan zakat unta, iaitu dengan mengeluarkan hak Allah pada unta itu menyamai kelebihan hijrah. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang menetap di negerinya dengan menunaikan zakat unta, akan memperoleh ganjaran hijrah dan menetap di Madinah.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1433H...

Antara Sabar Dan Mengeluh

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."
Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."
Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." 
Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: 
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Memberi Makan Ketika Berbuka Puasa di Bulan Ramadhan


Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 

Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 

1- Penjelasan tentang kelebihan orang yang menjemput orang yang berpuasa berbuka malah disunatkan berbuat demikian serta dorongan supaya melakukannya. 

2- Dalam tindakan menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka terdapat seruan kepada kasih-sayang, persamaan dan bantu-membantu di kalangan umat Islam. 

3- Pahala seperti ini akan diganjarkan kepada sesiapa sahaja yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun hanya dengan sebiji kurma, seteguk air minum atau seteguk susu. 

Kelebihan Berbuka Puasa Dengan Kurma


PEPATAH Arab ada menyebut, rumah bagi segala penyakit itu adalah perut. Ini bermakna, jika kita dapat menjaga perut atau mengawal apa kita makan, kita dapat mencegah diri daripada banyak penyakit.

Sehubungan itu, bukanlah sesuatu yang pelik, apabila banyak nas agama yang membincangkan tentang faedah kesihatan yang diperoleh daripada amalan berpuasa.

Amalan berpuasa seperti yang disyariatkan agama bukan sebagai satu ibadah. Sebaliknya, untuk menjaga kesihatan dan meningkatkan daya tahan.

Bagaimanapun, ada segelintir di kalangan kita selepas berbuka akan makan beberapa kali selepas itu. Tidak kurang yang menjamu selera di luar rumah selepas berbuka.

Selesai bersembahyang tarawih, ada juga yang menyambung makan. Trend seumpama ini mungkin tidak begitu popular di kalangan kita. Tetapi tidak di kalangan masyarakat Arab.

Trend menjamu selera secara terus-menerus sehingga waktu sahur ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Ini kerana, di hampir kebanyakan negara Arab, mereka menjadikan malam hari di bulan puasa seolah-olah waktu tengah hari mereka. Kebiasaannya, mereka akan berjaga sepanjang malam sehingga waktu sahur dan tidur pada waktu tengah hari.

Bagaimanapun, seorang ulama besar zaman silam, Ibn Qaiyyim al-Jauziyyah, melalui kitab at-Tib an-Nabawi, merumuskan kaedah kesihatan yang diamalkan oleh Rasulullah sejak lebih 14 kurun yang lalu.

Amalan yang baik ialah makan sedikit saja waktu berbuka puasa. Kemudian tunaikan solat maghrib. Selepas solat maghrib baru makan malam. Itulah amalan yang baik dengan ajaran Islam dan kesihatan.

Rasulullah menganjurkan kita agar berbuka puasa dengan kurma. Mungkin masih ramai tidak mengetahui mengapa kurma sering kali disebut sebagai manisan paling sesuai ketika berbuka puasa.

Selain kandungan kalorinya yang tinggi, ia juga mudah dihadamkan ketika berbuka puasa.

Namun, khasiat yang lebih istimewa yang mungkin tidak disedari ialah ia mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.

Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya memberi tenaga yang tinggi.

Malah, kandungan tenaga yang dimiliki kurma menandingi antara keluarga besar buah-buahan.

Pada masa yang sama, ia juga mengandungi zat gizi penting bagi fungsi tubuh iaitu kalium khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

Galian ini berfungsi untuk membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot-otot dan mengatur tekanan darah.

Paling menakjubkan, ada kajian mendedahkan makanan yang tinggi kandungan kaliumnya mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.

Gula yang terkandung dalam kurma mudah diserap dalam tubuh tanpa perlu melalui proses yang panjang. Atas sebab itulah, kurma dianggap sebagai buah yang paling ideal untuk hidangan berbuka puasa atau sahur.

Selain itu, kurma diketahui mengandungi pelbagai vitamin penting lain seperti vitamin A, tiamin, riboflavin, niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat, serat dan bermacam-macam lagi.

Dalam setiap 100 gram kurma kering, terkandung vitamin A 50 IU, tiamin 0.09mg, ribofalvin 0.10mg, niasin, 2.20mg, serta kalium 666mg. Zat-zat gizi ini berfungsi membantu memberi tenaga, menjaga kulit, saraf agar sentiasa sihat.

Kurma juga mengandungi banyak garam galian lain seperti magnesium, potasium dan kalsium. Mineral-mineral ini sangat diperlukan tubuh. Serat kurma misalnya, dapat melancar dan mengaktifkan fungsi usus sekali gus memudahkan pembuangan air besar.

Sejenis bahan yang dikenali sebagai potuchsin seakan-akan hormon ini mampu melancarkan aliran darah dalam rahim dan mencegah pendarahan rahim.

Sehubungan itu, kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya pada bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau menggantikan makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Tip berbuka dan bersahur yang berkesan:
- Berbuka dengan buah atau air
- Tunaikan solat maghrib terlebih dahulu bagi memberi peluang perut menghadamkan makanan
- Kurangkan makanan yang berminyak, berempah dan pedas
- Kurangkan kadar makanan dari biasa
- Elakkan minum air sambil makan. Makan secara perlahan-lahan.

Elakkan:
- Makan terlalu banyak ketika bersahur
- Makan makanan yang pedas atau berempah
- Makan terlalu banyak daging terutama kepada mereka yang menghidap batu karang, gout dan alahan
- Mengulangi makan sepanjang malam
- Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan
- Tidur selepas kenyang makan
- Merokok.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan


Ramadan akan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW biasa berdoa bermaksud, ‘Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya’aban dan sampaikan kami Ramadhan.’ (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad). Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan Ahlan wa sahlan ya Ramadhan’ bererti selamat datang Ramadhan!

Berpuasa Ramadhan bertujuan menambahkan Taqwa. Taqwa ialah kekuatan dalaman anugerah Allah untuk manusia berhadapan dengan fitnah hidup ini dengan selamat hingga ke akhirat. Kesannya mendalam hingga ke Ramadhan akan datang. Rasulullah telah menjanjikan kita dengan sabdanya, “Solat yang lima. Jumaat hingga Jumaat, dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim).

Hati dibersihkan dari dosa dan nafsu dapat dijinakkan. Asalnya nafsu berguna untuk mengurus diri dan alam keliling. Dengan nafsu manusia sukakan kebersihan, keindahan. makan minum. dan berkeluarga hingga berkembang biak memenuhi bumi. Namun, nafsu mudah menjadi liar hingga membahayakan diri dan alam. Betapa kecantikan terjebak kepada kelucahan. Urusan makan minum menjadi perebutan harta dan takhta. Kesihatan, kekuatan dan kemudaan sering disalahgunakan hingga tergadai usia muda kerana lupa kepada Allah.

Berlapar penting untuk menjinakkan nafsu. Itu adalah peraturan Allah yang Maha Mengetahui. Apabila berpuasa mengikut sunnah Rasul SAW, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim lebih teliti dalam tindak tanduknya. Selain berlapar, berpuasa ialah menahan diri daripada perkara yang berdosa, tidak bermoral dan sia-sia. Berpuasa pada perut ialah tidak makan, berpuasa pada Iidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat. Berpuasa telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbuatan lucah. Berpuasa mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat, atau memandang seseorang dengan marah.

Nabi bersabda, “Bukanlah puasa itu semata-mata meninggalkan makan dan minum tetapi puasa ialah meninggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Jika sesiapa dimaki atau diperbodoh oleh seseorang katakanlah;’Saya berpuasa, saya berpuasa”(Riwayat lbnu Khuzaimah dan lbnu Hibban).

Menurut hadith ini, orang yang berpuasa perlu kuat bersabar apabila dalam situasi genting atau bertelingkah. Disebutnya, ‘Saya berpuasa’ beberapa kali untuk mengingatkan diri agar tidak merosakkan pahala puasa. Puasa begitu penting dijadikan latihan mengubah sikap hingga Rasulullah mengingatkan kita, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan sia-sia maka Allah tidak memerlukannya meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari).

Puasa Ramadhan menjanjikan perubahan bagi mereka yang mengisi masa dengan kebaikan dan ibadah. Kesemua amalan dibuat dengan penuh ilmu dan faham. Membaca al-Qur’an ialah membaca perintah dan hukum Allah. Tarawih ialah merehatkan hati dengan mendengar bacaan qari mengimami solat tarawih itu. Bertaubat ialah menyesali dosa dan ingin berubah menjadi taat. Beribadah pada Lailatul Qadar membawa keampunan dan kebajikan yang kekal seumpama seribu bulan. Beriktikaf ialah mengasingkan diri di dalam masjid dengan mengimbau kesalahan Iampau untuk membaiki diri dan umat. Zakat fitrah ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang melimpah, hingga ingin dikongsi kepada orang yang memerlukan.

Pada akhir Ramadhan, orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi orang baru kerana berjaya membuang segala kelemahan diri. Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah. Alangkah gembiranya jika Ramadhan itu sepanjang tahun. Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari r.a, katanya,’Rasulullah SAW bersabda;’Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan,nescaya umatku berangan agar setahun itu kesemuanya Ramadhan.’ (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

SEMOGA RAMADHAN KALI INI LEBIH BAIK DARI RAMADHAN YANG LALU

Menjelang Malam Nisfu Sya'aban


SYAABAN adalah gerbang menyambut Ramadan yang penuh berkat. Oleh itu, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada bulan ini sebagai latihan dan persediaan sebelum menghadapi kewajipan berpuasa sebulan penuh pada Ramadan kelak.

Ia dinamakan Syaaban kerana Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya pada bulan ini. Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Nabi Muhammad saw terhadap semua nabi. Sementara, keutamaan Ramadan berbanding bulan lain adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.

Pada Syaaban, ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.

Malam itu menyaksikan limpahan manusia hingga masjid dan surau tidak dapat menampung bilangan jemaah yang begitu ramai. Begitulah keistimewaan malam Nisfu Syaaban hingga mampu menarik perhatian umat Islam untuk sama-sama memakmurkan rumah Allah.


Antara amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Sya'aban:

Selesai sembahyang Maghrib hendaklah membaca Yasin dengan niat panjangkan umurnya dalam mentaati Allah. Kemudian berdoalah. Kemudian dibacakan pula Yasin dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkatinya, kemudian lalu dibacakan doanya. Kemudian dibacakan pula Yasin dengan niat minta mati dalam iman, kemudian lalu dibacakan doanya.

Pada malam Nisfu Syaaban sangat baik memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan taubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta diampunkan Allah ibubapa kita dan keluarga kita. Maksud doanya:

Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan aku dan aku adalah hambaMU, sentiasa berada dalam genggamanMu dan ketetapanMU, tiada ada kesanggupanku. Aku mengaku padaMU nikmatMu atasku dan aku mengaku kepadaMu dengan dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada apa yang akan mengampun dosa melainkan Engkau jua. Aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan apa yang telah aku lakukan.

Memohon keampunan dua ibubapa, maksudnya: Ya tuhanku ampunilah aku dan kedua ibubapaku dan rahmatilah duanya sepertimana mereka mendidik aku di waktu kecil. (Rabbigh firli waliwa lidaiya warham huma kama rabbayaani soghiro)

Memohon keampunan dan taubat diri: (70/100 kali pagi petang). Maksudnya: Aku mohon keampunan Allah dan aku bertaubat kepadanya. (Astagfirullah hal a’zim wa atu bu ilaih)

Membaca: (beberapa kali – pahala seperti ibadat seribu tahun). Maksudnya: Tiada tuhan melainkan Allah dan tiada kami sembah melainkan dianya, dengan cara ikhlas kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid, walau pun membenci oleh orang-orang kafir. (La ila haillallah wala na’budu illa iyyahu mukhliseena lahuddin walau karihal kaafirun)

Membaca Al-Quran.

Membaca Tasbih: Seratus kali tiap-tiap satu.

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi. (Subhanarob biyal a’ala)

Maksudnya: Maha Suci Allah dan dengan segala kepujianNya. Maha Suci Allah yang Maha Agung. (Subhanallah wabihamdih, Subhanallahal ’azim)

Maksudnya: Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar (Agong) tiada suatu daya dan tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Agong. (Subhanallah, walhamdulillah, wala ila ha illallah, Allahhu akbar, walahaula wala qhuwwatailla billahil ‘aliyyil ‘azeem)

Membaca Salawat Atas Nabi: (Allahhummasolli ‘ala Muhammad) 10 atau 100 kali pagi dan petang.

Membaca Zikrullah: (La ila ha illallah) 100 kali selepas sembahyang Subuh dan Asar.

Sembahayang-sembahyang sunat: Sunat Mutlaq, Sunat Isyraq, Sunat Dhuha, Sunat mengiringi Fardhu, Sunat Awwabin, Sunat Tahajjud, Sunat Tasbih, Sunat Witir dan Sunat Hajat di tengah malam sebaik-baiknya memohon hajat sesuatu.
Namun, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya beramai-ramai melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban, tidak pada hari dan bulan lain.



Perlu ditegaskan bahawa setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan berkenaan.

Muslim sejati tidak akan memilih bulan atau hari tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan hingga bertemu menghadap Allah nanti.

Di samping itu, ada himpunan hadis yang menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalann tertentu pada bulan ini. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama.

Bagaimanapun, ada sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis daif boleh dipegang dalam fadhail amal (untuk kelebihan beribadat) secara perseorangan.

Jadi, beramallah kita bukan kerana fadhilat tetapi niat lah di hati kita untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah. Jelas daripada fakta di atas bahawa dalam Syaaban ini umat Islam dianjurkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyak ibadah.


Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban

Adapun kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”


HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

1. Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu (pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.

( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )

2.Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-’As daripada Nabi S.A.W telah bersabda : Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya’ban, pemanggil akan memang- gil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik.

( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti)

Penerangan Hadis:

1. Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya’ban yang mana Rasulullah S.A.W sentiasa berpuasa bahkan melebihi bulan-bulan yang lain.

2. Hadis-hadis ini juga menerangkan bagaimana hukum berpuasa pada bulan Sya’ban iaitu sunat bukannya wajib. Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi’liyyah (sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujjah di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

3. Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Kita kadang-kadang melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan dan ia dilakukan apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut. Ini kerana apabila ia dilakukan secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.

4. Galakan ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.

5. Baginda juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk dihisab kualitinya. Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

6. Baginda S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersendiri seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan Sya’ban terutama pada malam pertengahan bulannya. Baginda S.A.W juga mengajar kita agar menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada Allah.

7. Islam mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mapu menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan kita.

8. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.

9. Islam mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak dimaqbulkan.

Selamat beribadah dan beramal buat semua. Sama-sama kita persiapkan diri untuk Ramadhan yang bakal tiba. Mudah-mudahan Allah beri keizinan buat kita untuk tiba di bulan Ramadhan. Amin.....

Risalah Amalan Bulan Rejab

Alhamdulillah, telah hampir sebulan kita berada di dalam bulan yang penuh dengan barakah yakni bulan Rejab. Bulan Sya'aban semakin menghampiri dan Ramadhan sedang menanti kita. Dengan sisa baki yang hanya tinggal beberapa hari lagi dalam bulan Rejab ini, al-faqir ingin berkongsi dengan para muhibbin sekalian amalan-amalan dalam bulan Rejab ini. Al-faqir memohon jutaan kemaafan kerana kesibukan sehingga tidak sempat untuk berkongsi amalan2 ini di awal Rejab.

Walaubagaimanapun, sedikit amalan2 dalam bulan Rejab ini yang saya ambil dari guru saya Ustaz Muhadir bin Haji Joll, seorang pensyarah dari UIA. Beliau meminta untuk sebarkan risalah ini. Risalah ini menghimpunankan beberapa amalan berupa istighfar, tasbih, doa dan amalan-amalan lain, yang diambil dari beberapa kitab dan kutaib, yang disusun untuk dimanfaatkan oleh semua saudara seagama. Sesungguhnya amalan-amalan ini seharusnya tidak ditinggalkan oleh Muslim Mukmin dalam ubudiyyah dan perjalanannya kepada Allah sepanjang bulan Rejab yang penuh barokah dan mulia ini.

InsyaAllah, risalah ini boleh di muat turun di LINK di bawah. Klik sahaja link di bawah untuk memuat turun risalah ini. Syukran.


klik disini utk muat turun : RISALAH AMALAN BULAN REJAB

Penawar Rindu Buatmu Ya Rasulullah : Himpunan Maulid Diba'ie, Qasidah dan Selawat Pilihan

Alhamdulillah, pada tanggal 10 Mei 2011 yang lepas, IPG Kampus Tuanku Bainun mengadakan program Kesenian Mahabbah Rasul dan pelancaran buku terbaru daripada kumpulan qasidah IPG KTB iaitu PENAWAR RINDU BUATMU YA RASULULLAH yang dilancarkan dengan jayanya oleh Syeikh Rohimuddin An-Nawawi 'Azamatkhan Al-Husaini A-Bentani di dewan Aminuddin Baki IPG KTB.

Di dalam buku tersebut terkandung himpunan Maulid Diba'ie, qasidah-qasidah dan selawat-selawat pilihan. Terdapat juga muqaddimah daripada penyusun, Muhammad Afif bin Yahya (Ana); kata-kata aluan daripada Pengarah IPGKT, juga daripada Arif Billah 'Allamah As Sayyid Dr. Ahmad Fadhil Jilani al-Hasani iaitu merupakan ulama' dari Negara Turki berketurunan Syeikh Abdul Qadir Jilani dan juga kata-kata aluan daripada Syeikh Rohimuddin An-Nawawi 'Azamatkhan Al-Husaini A-Bentani.

Alhamdulillah, pada malam itu, kumpulan qasidah IPG KTB telah mempersembahkan beberapa alunan qasidah untuk diperdengarkan oleh para muhibbin. Malam itu juga, dalam ucapan Syeikh Rohimuddin, beliau telah menamakan kumpulan qasidah IPGKTB dengan nama Al-Ihya'.Semoga dengan nama tersebut kumpulan qasidah ini mampu untuk menghidupkan jiwa-jiwa umat islam dengan perasaan cinta terhadap Rasulullah s.a.w. Amin....

Harga buku : RM 10 sahaja.
Hasil jualan akan membantu kelancaran gerak kerja dakwah di IPG Kampus Tuanku Bainun. InsyaAllah.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut, boleh hubungi ana, Muhammad Afif bin Yahya di nombor 013-5855288.


Airmata Seorang Nabi Kerana Umatnya

Utk Renungan Bersama.

Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,

"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.

Dialah malakul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?"

Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Amin....

5 Sifat Manusia Menghadapi Kesusahan & Kesenangan

Musibah dan kenikmatan kedua-duanya adalah cubaan dari Allah agar manusia sedar dan kembali mengingati kekuasaan Allah. Manusia mempunyai sifat yang berbeza terutamana dalam menghadapi kesusahan musibah,malapetaka, kesenangan dan kenikmatan.

1.Ada golongan manusia yang ingkar bahawa kenikmatan dan malapetaka itu datang-nya dari Allah sebagai ujian. Mereka berkata gempa bumi,banjir, hama,kebakaran, angin taufan, semua itu adalah bencana alam,alamiah dan bukan dari Tuhan. Apabila kesulitan yang menimpa diri mereka telah pulih kembali dan berakhir seperti sakit sekian lama kemudian sembuh,miskin kemudian menjadi kaya dan berakhir seperti sembuh,miskin kemudian menjadi kaya dan berakhir seperti itu juga. Namun mereka tetap kufur terhadap pemberi kenikmatan dan rahmat dari Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman)sama sahaja kepada mereka,sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran,mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka) Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka ada penutupnya,dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar." (Al-Baqarah 2:6-7)

2. Golongan kedua ialah orang-orang yang kurang yakin dalam keimanannya, Ketika dia memperolehi nikmat daripada Allah kerana apabila mereka mendapat cubaan yang berbentuk musibah dan malapetaka,mereka ingkar kepada Allah. Sembahyang dan puasa ditinggalkan. Firman Allah SWT: "Dan diantara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap,iaitu kalau ia beroleh kebaikan,senanglah hatinya dengan keadaan itu dan kalau pula ia ditimpa kesusahan berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya) (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat,itulah kerugian yang terang nyata. Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah,yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya, itulah kesesatan yang jauh terpesong."(AlHajj22:11-12)

Orang yang demikian apabila memperolehi kekayaan,dia akan berasa sombong,kedudukan yang ada digunakan untuk kepentingan sendiri dan apabila memperolehi ilmu pengetahuan digunakan untuk merugikan orang lain. Hal itu akan terjadi sekiranya semua yang diperolehinya dengan jalan yang tidak wajar. Firman Allah: "Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka jadilah ia seorang yang sangat berputus asa.lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah)." (Surah Fussilat 41-49)

"Dan demi sesungguhnya!Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya,kedapatan dia sangat-sangat berputus asa,lagi sangat-sangat tidak bersyukur." (SuraH Hud 11:9)

3.Golongan ketiga ialah orang-orang yang apabila mendapat kesulitan, musibah, mala petaka,kemiskinan mereka mengingat Allah Tetapi setelah memperolehi kenikmatan mereka lupa kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesu-sahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) samaada ia sedang berbaring, duduk atau berdiri dan manakala Kami hapuskan kesu-sahan itu daripadanya,ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpa." (Yunus 10:12)

4. Golongan yang keempat ialah orang-orang yang apabila memperolehi kenikmatan lupa kepada Allah,tetapi apabila ditimpa musibah ingat Allah. "Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia,berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila ia ditimpa kesusahan maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar." (Fussilat 41-51) Dia tidak mengenal Allah dan tidak memerlukan Allah tetapi apabila ditimpa kematian ketua keluarga secara mengejut,mereka sibuk memanggil orang-orang untuk membaca Al-Quran dirumahnya. Sebelum itu tidak pernah ada orang yang mengaji Al-Quran dirumahnya.

5. Golongan yang kelima ialah orang yang beriman dengan penuh keyakinan. Apabila memperolehi kenikmatan dia bersyukur dengan ucapan dan perbuatannya. Apabila ditimpa malapeta atau kesusahan dia tetap bersabar. Imannya,ibadahnya dan akhlaknya tidak mudah terpengaruh baik senang ataupun susah.

Demikianlah lima sifat golongan manusia dalam menghadapi ujian dari Allah.Kebanyakan mereka mengelabah dan akhirnya tewas dalam ujian dari Allah.Bahkan kebanyakan merasakan bahawa apa yang berlaku pada dirinya bukan dari Allah, dan dengan itu mereka lupa memohon pertolongan Allah,berlindung denganNya.Bahkan mereka menyingsing lengan,mengerah tenaga dan hawa nafsu untuk menghadapi ujian tersebut.

EMPAT GOLONGAN MANUSIA
Sedarkah kita bahawa jika direnungkan ada empat golongan manusia dalam hubungan dengan masyarakatnya:

1.Orang yang baik,tetapi kebaikan itu hanya untuk dirinya sendiri sahaja.
2.Orang yang jahat,tetapi kejahatannya merosakkan dirinya sahaja.
3.Orang yang baik dan berusaha agar orang lain juga baik.
4.Orang yang jahat dan selalu berusaha merosakkan orang lain dalam masyarakat.
Kata pepatah,jika kita tak boleh menjadi garam yang boleh menyelamatkan ikan dari busuk,maka janganlah menjadi lalat yang merosakkan ikan. Kita digolongan mana? Jika kita tak boleh berbuat baik dalam masyarakat,janganlah rosakkan orang lain yang berbuat baik pada masyarakat.

 
powered by Blogger