Merenung Kebesaran Allah

Guna Pancaindera renung kebesaran Allah


 
MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya.

Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am ayat 165)
 
Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.

Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21)

Firman Allah SWT lagi bermaksud: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5)

Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman. Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.
 
Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.

Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?

Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.

Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya.
 
Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.

Dipetik dari Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Tanda Hati Kita Mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

~Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya

~ Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda

~Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya

~Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya

~ Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya

~Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya

~Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya

~Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya

~Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri

~Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil


Pengajaran daripadanya:
Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).


Firman Allah:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Rad, Ayat 28)


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
...dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu."
Hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:



"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya."

Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati."

Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi(kebendaan).

Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.

Pengajaran Kisah Abrahah

SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.

Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.

Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.

Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.

Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.

Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San’a.

Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bila kejadian itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:

i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.

iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.


Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?

Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:

i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra’.

ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.


Sayid Qutub berkata: “Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju.”

Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.

Tentera Allah dalam bentuk burung.

Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:

i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan al-Akhfash.

ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.

iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.

iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata’ dan Abu Soleh.

v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.


Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:

i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.

iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.


Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:

i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.

ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.

iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.


Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut.”

Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.

Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.
 
Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.

Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.

Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.

Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.

“Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah.”
 
Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.

Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.

Abdul Muttalib berkata: “Burung tersebut amat pelik.” Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.

Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.

Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.

Sumber : epondok

 
powered by Blogger