Merokok: Antara Lemah Jati Diri, Menipu Diri atau Jahil

Merokok membahayakan kesihatan. Kenapa saya tidak merokok? Sejak kecil, ibu saya menanamkan dalam diri anak-anaknya bahawa merokok merupakan suatu kesalahan besar. Ibu menyedarkan kami bahawa merokok adalah punca asal dan permulaan kepada gejala penagihan dadah di kalangan remaja sekolah. Didikan itu telah membina suatu jati diri yang kuat dalam diri saya dengan menolak sepenuhnya tabiat merokok sehingga hari ini.

Tidak perlu saya menghuraikannya secara panjang lebar keburukan merokok dari sudut saintifik dan agama. Daripada bukti-bukti yang ada, merokok telah diakui oleh semua orang tanpa khilaf lagi, memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh perokok, orang di sekelilingnya dan tidak terkecuali alam sekitar juga.

Allah berfirman yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al Baqarah: 195]

Merokok boleh membawa kebinasaan kepada kesihatan tubuh badan manusia. Apakah kita tidak mahu beriman dengan ayat Allah itu?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain” [HR Ibnu Majah]

Bukankah merokok boleh membahayakan bukan sahaja perokok tetapi juga orang lain melalui pencemaran udara? Dalam hukum fiqh, keharaman merokok masih dalam ruang lingkup khilafiah kerana ia bukan persoalan yang boleh dimuktamadkan melalui nas qat’ie dari al Quran dan hadis. Pun begitu, saya tidak setuju kepada mereka yang beralasankan soal khilafiah sebagai hujah untuk membenarkan sesuatu perkara yang boleh memudharatkan diri mereka, sama ada dalam aspek keduniaan atau keagamaan. Prinsip yang diajarkan oleh Islam mengkehendaki kita supaya apabila kita mengetahui hakikat kebenaran sesuatu hujah itu, kita perlu jujur menerimanya. Kita tidak boleh membohongi diri kita dengan kebenaran hanya disebabkan ingin memuaskan nafsu dan kemahuan kita semata-mata.

Ada orang yang mengetahui hakikat merokok itu memudharatkan tetapi dia tetap bertegas mengharuskan perbuatan tersebut dengan alasan ada pendapat lain yang mengatakan ia tidak haram. Analoginya, anda tahu meminum arsenik walaupun dalam kuantiti sedikit itu berbahaya kepada kesihatan dan boleh menjadi pembunuh senyap, tetapi anda tetap meminumnya hanya kerana beralasankan keharamannya secara jelas tidak ada dalam al Quran atau hadis. Berakalkah anda jika bertindak demikian? Mungkin ada benarnya sindiran Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan perokok dari kalangan mereka yang berkopiah dan berjubah lebih hina dari binatang.

Di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Melaka dan Sarawak, fatwa keharaman rokok telah digazetkan. Bahkan di peringkat kebangsaan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam, walaupun tiada fatwa khusus dikeluarkan mengenainya.

Hukum melanggar fatwa adalah haram, yakni berdosa apabila dilakukan. Dengan kata lain, mana-mana individu yang merokok di negeri-negeri terbabit akan mendapat dosa. Jika individu ini berterusan melakukan dosa kecil ini secara terbuka, tidakkah boleh dikategorikan sebagai seorang yang fasik? Bagaimana pula keabsahan bagi kesaksian dan perwalian dari orang ini?

Remaja yang merokok sebenarnya terdiri dari mereka yang mudah terpengaruh dengan persekitaran dan rakan sebaya serta kurang jati diri. Penilaian ini didasarkan dari pengalaman rakan-rakan, ahli keluarga dan diri saya sendiri. Semasa belajar di universiti, saya pernah tinggal serumah dengan kesemua penghuninya adalah perokok. Syukur, saya tidak terpengaruh di usia remaja itu sehinggalah sekarang, walaupun saya melihat sendiri ramai rakan-rakan saya yang asalnya dari kelompok yang baik, terjebak dalam tabiat merokok ini atas pengaruh rakan sama ada ketika bangku sekolah, universiti atau alam pekerjaan. Secara peribadi, saya bersyukur kerana mempunyai kekuatan jati diri saya hasil didikan ibu saya, di samping contoh tauladan dari tokoh yang saya selalu ingati iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Kita wajar mengucapkan syabas kepada sahabat-sahabat kita yang berjaya menghentikan tabiat merokok mereka. Sesungguhnya ia tidak akan berhasil melainkan dengan keazaman dan semangat yang tinggi. Alah bisa tegal biasa. Saya menyeru seluruh pembaca supaya bersama berkempen menghentikan tabiat merokok ini untuk kebaikan semua. Ingatlah merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan perokok, malah boleh memudharatkan orang lain dan alam sekitar melalui pencemaran udara. Lebih penting lagi, agama melarang sebarang perbuatan yang boleh membawa kebinasaan dan pembaziran.

Nabi Ismail sebagai Qurban

Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pengaulan umum.

Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri.

Namun ia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.

Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya". Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.

Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:

"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."

Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: "Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan perkorbanan puteranya. untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahwa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku. "Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan". Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor Qibas yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.

Mengingati Umar ketika Melihat Runtuhnya Keadilan

Apakah kekuatan Khalifah Umar Al-Khattab yang menyebabkan keadilan Islam dapat ditegakkan sepenunnya di zaman pemerintahannya. Malah para pengkaji beranggapan bahawa pada zaman pemerintahan Umarlah kecemerlangan Islam sangat terserlah - dapat membebaskan Baitulmaqdis, bandar-bandar di timur Eropah dan menumbangkan empire Rom dan Parsi.

Menurut ulama dan para pengkaji sejarah bahawa kejayaan Umar ini disebabkan, pertama, kepimpinannya takutkan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada yang yang lain. Kedua kerana beliau merasakan kepimpinannya bertanggungjawab lansung di depan Allah swt, ketiga, merasakan setiap langkah dan tindakan yang dilakukannya benar-benar mengikut apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran, hadis dan Sunnah, sementara keempat mempunyai rasa kemanusiaan yang sangat tinggi. Justeru, sebelum bertindak dia bertanya terlebih dulu kepada dhamirnya (bisikan hatinya) sama ada tindakannya itu adil atau tidak.

Ini yang menjadi pendorong utama Umar dalam melakukan pelbagai arahan dan tindakan - bukan sahaja tindakan yang berhubung dengan kes-kes yang melibatkan sekitar hukum fiqh tetapi juga tindakan politik dan ketenteraan serta diplomasi, di mana ijtihadnya menepati kehendak Al-Quran dan hadis. Ini menyebabkan Nabi s.a.w. sering bersetuju dengan pandangan dan tindakan Umar, justeru Nabi saw pernah berkata: "Pada diri Umar sering memancar kebenaran dan kecemerlangan Islam." Kini, dalam keadaan kalut sekarang, masyarakat merindukan seorang tokoh atau beberapa tokoh yang diharapkan mampu menegakkan keadilan, sama ada sebagai pemimpin politik yang memerintah, pemimpin masyarakat atau pemimpin dalam kelompok bangsa masing-masing serta keluarga. Namun tokoh yang anda cari tidak juga ditemui.

Yang ada di depan mereka ialah pemimpin yang gila kuasa, mengamalkan rasuah, pilih kasih, salahguna kuasa dan pelbagai perbuatan mungkar lagi. Justeru rakyat semakin kecewa dan merasa lemas dengan keadaan yang ada. Mereka seperti berada di sebuah terowong gelap yang tidak ada sebarang cahaya di hujungnya untuk menunjuk jalan menghala keluar.

Memang ramai para pemimpin dari golongan terpelajar, berkedudukan tinggi, popular, berpengaruh, memiliki harta dan kuasa yang luas, namun kepimpinan mereka sering ditandai dengan pelbagai perlakuan buruk - selain tidak adil juga pilih kasih, salahguna kuasa, tiada ketelusan, rasuah dan pelbagai lagi. Apakah kuasa itu membolehkan segala-galanya.

Semua ini berlaku kerana kebanyakan pemimpin ini jauh dari ciri-ciri yang ada pada Umar Al-Khattab, iaitu mereka tidak merasa takutkan Allah swt Mereka tidak merasakan kepimpinannya bertanggungjawab di depan Allah swt sebab itu tindakan yang dilakukan oleh mereka sama sekali bertentangan dengan Al-Quran, hadis dan Sunnah.

Mereka juga tidak memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi justeru sebelum bertindak, mereka tidak pernah bertanya kepada bisikan hati mereka sendiri sama ada tindakannya itu adil atau tidak. Inilah masalah yang menghadapi kepimpinan yang ada.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang, untuk mencari kepimpinan seperti Umar Al-Khattab samalah seperti 'memerah batu untuk mencari walau setitis air'. Anehnya, di tengah-tengah keadaan begini ada pemimpin yang walaupun zalim tetapi bercakap pula dengan lunaknya mengenai keadilan dan kata-kata yang muluk-muluk, malah kononnya bercita-cita pula untuk menegakkan kesamarataan rakyat. Ini benar-benar mengelirukan, sama seperti pencuri yang meneriakkan konon di sana ada pencuri, pada hal dialah sebenarnya sang pencuri.

Umar Al-Khattab menjalani kehidupan sangat sederhana - rumah sederhana, pakaian sederhana, kenderaan sederhana, makan minumnya sederhana, bahkah beliau mengenakan peraturan supaya keluarganya tidak memiliki harta, jauh dari membolot harta negara. Kisah Umar dan keluarganya yang hidup sederhana ini sudah diketahui umum sejak zaman berzaman, tetapi kisah ini jauh dari diteladani.

Ketika membebaskan Baitulmaqdis, Umar memakai pakaian lusuh sehingga orang menyangkakannya sebagai 'penjaga kuda Umar', sehinggalah pasukan Muslimin memberitahu penduduk Islam dan Kristian di Baitulmaqdis bahawa itulah Amirul Mukminin, bukan penjaga kudanya, menyebebabkan mereka tereranjat dan mengkagumi Umar dan pasukannya.

Umar melarang rakyat menyambutnya secara besar-besaran-besaran, melarang orang mengawalnya dengan rapi, jangan berdiri dan mencium tangan untuk menghormatinya ketika tiba di sesuatu majlis. Malah beliau tidak mahu duduk di bahagian depan di dalam sesuatu majlis, serta melarang khatib yang menyampaikan khutbah berdiri di tempat yang lebih tinggi daripada jemaah supaya antara khatib dan jemaah tidak terpisah.

"Kedudukanku tidak lebih mulia dari kamu semua," kata Umar, "yang membezakan ialah kerana aku diamanahkan memimpin kamu semua. Ini tanggungjawab berat, "kata-kata ini diucapkan oleh Umar di suatu perhimpunan di Madinah ketika kaum Muslimin mendengar amanatnya.

Di sisi lain, Umar Al-Khattab melarang sama sekali anak isteri dan saudara maranya dari mengumpul harta semata-mata kerana ada hubungan dengan kekuasaan khalifah. Hal ini sesuatu yang sangat sukar dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kerajaan di zaman kini dan mungkin di masa akan datang juga kiranya mereka bukan jenis pemimpin yang takutkan perintah Allah dan tidak peduli dengan persoalan dosa pahala.

Sementara itu, ulama dan pengkaji sejarah Islam di seluruh dunia bersependapat bahawa kerajaan Umarlah yang berjaya menterjemahkan syariat Islam yang berpaksikan keadilan dan kasih saying. Beliau mengingatkan tentera Islam supaya tidak menyalahgunakan kuasa, tidak berlaku kejam kepada rakyat walaupun berlainan agama dan suku kaum, bahkan berkewajipan melindungi mereka semua.

Umarlah orangnya yang memperjuangkan hak-hak rakyat tanpa mengira batas agama, warna kulit, suku kaum dan sebagainya. Justeru ketika Umar terbunuh di tangan Abu Lu'luah, seorang keturunan Parsi, rakyat menangis bukan semata-mata kerana kehilangan pemimpin yang disayangi, tetapi lebih jauh dari itu merasakan pemergian Umar seperti berakhirnya suatu zaman kegemilangan Islam dengan segala keadilannya. Mereka merasakan selepas pemergian Umar, maka keadilan mengucapkan 'selamat tinggal'.

Umar telah pergi meninggalkan kita lebih seribu tahun lalu, namun legasinya, keadilan dan kesaksamaannya masih kekal dalam ingatan umat ketika umat sendiri - masa kini - sedang menyaksikan kepimpinan kezaliman yang tidak adil, tidak merasa berdosa kerana berdusta, menyeleweng, salahguna kuasa, rasuah dan segalanya . Namun kepimpinan ini tanpa malu-malu sering pula bercakap mengenai keadilan Umar. Inilah sebuah kepura-puraan di tahap paling tinggi.

Di depan kita sekarang hutan belentara kezaliman, ketidakadilan dalam pelbagai bentuk dan jauh dari petunjuk Ilahi, namun itulah wajah kepimpinan yang dipaksakan kita menerimanya. Justeru tugas umat ialah berjuang mengembalikan semula kepimpinan yang mempunyai cirri-ciri seperti Umar Al-Khattab

Manfaatkan Teknologi Maklumat Dalam Berdakwah


TERTARIK benar penulis dengan penjelasan seorang tok guru dalam tazkirah di sebuah masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini bahawa dalam perkembangan teknologi komunikasi sekarang ini lebih mudah untuk seseorang mendekatkan dirinya dengan Penciptanya, Allah SWT.

Katanya, dalam telefon selular boleh dimasukkan cip bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, jadi bolehlah seseorang itu menghayati bacaan al-Quran sepanjang masa dan di mana saja dia berada. “Tetapi janganlah dibuka dalam tandas,” beritahu tok guru. Katanya, pada zaman serba canggih ini semakin mudahlah seseorang itu mendekatkan dirinya dengan Allah, namun keberkesanannya bergantung kepada individu juga; jika teknologi hebat dia hanya berminat untuk mendengar lagu-lagu penyanyi kesukaannya, maka gagallah dia mendekatkan dirinya dengan Allah.

Tok Guru berkata; “dah tua-tua ni janganlah terlalu berminat dengan suara Siti Nurhaliza lagi, bertaubatlah, gunakanlah kemudahan moden itu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Hayatilah bacaan al-Quran, ketenangan akan kita perolehi.”

Bercakap mengenai penggunaan teknologi komunikasi dalam dakwah, berdasarkan pengalaman penulis mengikuti tazkirah dan kelas pengajian di masjid berbanding kursus umrah yang dianjurkan syarikat swasta, ternyata yang kedua ini selalunya menggunakan pendekatan multimedia mendatangkan kesan lebih mendalam kepada hadirin.

Pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang biasanya diadakan antara solat maghrib dan isyak, komunikasi adalah sehala, ustaz saja yang bercakap sedangkan jemaah mendengar saja. Jarang benar ustaz bersedia membuka soalan kepada jemaah.

Apabila berlaku komunikasi sehala, penulis perhatikan ada jemaah tersenguk-senguk, menandakan mereka tertidur tetapi pada persembahan multimedia ketika kursus umrah penulis mendapati hadirin begitu tertarik dan bersemangat sekali.

Teknologi komunikasi berkembang pesat, jadi tidakkah teringin pemimpin masjid meningkatkan kaedah penyampaian termasuk tazkirah dengan menggunakan alat bantuan multimedia seperti slaid Powerpoint dan skrin gergasi?

Berhubung perkara ini, Abdul Halim Ismail dalam majalah Risalah, Bilangan 4 (April 1992) antara lain menulis: “Dengan meningkatnya teknologi komunikasi canggih bermakna meningkatlah darjah persaingan antara pelbagai kelompok, badan dan pertubuhan serta organisasi-organisasi untuk memenangi hati massa.

“Kini badan perniagaan dan korporat, parti politik, agensi pelancongan, badan budaya dan pengusaha industri hiburan terlibat dalam perang maklumat (infowar) yang sengit sekali. Dalam kebisingan dan hiruk pikuk seperti ini, mesej agama selalunya menjadi terpencil dan tidak didengari. Apatah lagi kalau badan-badan dakwah dan gerakan Islam memilih untuk menarik diri daripada perlumbaan yang hebat ini, pastilah suara dakwah menjadi bertambah perlahan.

“Kita yakin bahawa mesej Illahi adalah perutusan unggul yang harus ditebar seluas-luasnya. Allah sendiri menegaskan, “siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah? (terjemahan al-Quran, surah Fussilat 41:33). Namun tanpa ikut serta dalam ‘technological leap’ yang pantas kini, dakwah akan hanya mampu menguasai ‘market share’ yang kecil sahaja seperti yang disebut dalam American Demographics, ‘God may not be dead, but the mass market is’.

“Walaupun survival gerakan Islam tidak banyak bergantung kepada teknologi maklumat komunikasi, tanpa impak daripada operasi dakwahnya yang merupakan raison d’etre kehadirannya bergantung besar kepada kaedah dan media yang dimanfaatkan.”

Berdasarkan pengamatan penulis, jemaah yang mengikuti kelas pengajian di masjid pada setiap kali adalah orang yang sama. Mereka mungkin terdiri daripada 20 orang daripada seluruh penduduk kariah atau kampung seramai 2,000 atau 3,000 orang. Jika orang dewasa di kampung itu ada 2,000 orang, kehadiran hanya 20 orang menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran masjid dalam mendidik orang Islam. Tentunya masjid gagal diimarahkan kerana dengan tidak hadirnya 1,980 daripada 2,000 penduduk lelaki dewasa atau lebih 99 peratus penduduk kampung bermaksud mesej Islam gagal disampaikan secara berkesan.

Jadi bagaimana mahu berkomunikasi dengan lebih 99 peratus penduduk itu? Tentunya kaedah tradisional di mana ustaz duduk menghadap 20 ‘murid tua’ itu perlu diperkemaskan agar seruannya dapat didengar dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk kampung.

Sebuah masjid di ibu kota (Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar) telah memulakan alat bantuan multimedia pada khutbah Jumaatnya. Dua skrin gergasi yang setiap satu bernilai RM6,000 diletakkan di sebelah mimbar, dan apabila khatib berkhutbah, persembahan slaid mengiringi isi khutbah, sekali gus menaikkan minat jemaah yang biasanya terkulai layu pada tengah hari yang panas itu.

Di beberapa masjid lain di Wilayah Persekutuan sudah ada persembahan Powerpoint bagi mengiringi khutbah Jumaat. Semuanya dilakukan dengan harapan jemaah akan lebih memahami sesuatu isu itu di samping mengelakkan mereka daripada terlena.

Alangkah baiknya, alat bantuan ini juga digunakan ketika diadakan tazkirah dan kelas pengajian di masjid. Pengurusan masjid juga boleh memikirkan bagaimana tazkirah itu dapat dipanjangkan kepada ratusan atau ribuan penduduk kariah yang tidak hadir berbanding dengan 20 jemaah tetap masjid.

Berdakwah kepada 20 ahli tetap masjid ini amatlah baik tetapi alangkah besar manfaat dan ganjarannya jika ribuan penduduk kampung dapat disampaikan ilmu dan maklumat. Memang betul, anak murid perlu mencari guru tetapi alangkah beruntung jika kita dapat memanfaatkan teknologi komunikasi yang kini berada di depan mata untuk menyeru seluruh penduduk ke arah kebaikan.

Bayangkan apa yang dapat dilakukan sekiranya organisasi dakwah mempunyai ‘linkage’ rangkaian telekomunikasi dengan setiap rumah dengan data dan maklumat yang sedia dimanfaatkan oleh semua pihak.

Ya, apa kata kita wujudkan telekomunikasi antara masjid dengan rumah penduduk dalam sesebuah kariah itu. Dengan itu apa saja sesi tazkirah di masjid boleh diikuti di rumah, tetapi harap-harap ia tidak disalahgunakan oleh penduduk lelaki dewasa untuk tidak hadir ke masjid.

Mungkin orang lelaki akan berterusan dipujuk ke masjid tetapi dengan wujudnya hubungan telekomunikasi masjid-rumah itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan perempuan terutama suri rumah yang terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga.

p/s: blog juga merupakan salah satu cara menyampaikan dakwah.

 
powered by Blogger